BN sudah menyenarai pendek nama beberapa orang, dan calon yang dipilih akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN, Khamis ini.
Menurutnya, BN dah hampir senarai pendek danĀ akan mengumumkan pada 15 April ini, katanya yang juga Menteri Pelajaran pada sidang media selepas melancarkan Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta di Tadika Wawasan Gemilang, Bandar Sungai Buaya di sini, semalam.
Ketika ditanya sama ada calon BN berkenaan orang tempatan, beliau pada awalnya sambil berseloroh berkata calon tersebut dari Amerika Syarikat dan kemudian meneruskan kata-kata beliau bahawa calon bukan dari US tapi Hulu Selangor, orang tempatan.
Beliau berkata, pemilihan calon BN itu mengambil kira pelbagai faktor dan maklum balas masyarakat setempat yang boleh diterima dan membawa kemenangan kepada BN, seperti contoh pemilihan calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dulu.
Kata Muhyyidin, mereka ada input daripada pelbagai sumber apa kehendak pengundi di sini.
Yang mana rakyat mahu, yang difikirkan boleh jalankan amanah sebagai wakil mereka, tiada skandal, latar belakang berkelayakan tinggi dan boleh bekerjasama dengan pemimpin termasuk peringkat bawahan serta boleh melaksanakan program ekonomi.
Katanya lagi, akhirnya Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN akan putuskan setelah mendapat maklum balas itu. Penamaan calon bagi pilihan raya kawasan Parlimen itu diadakan 17 April dan pengundian 25 April ini. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.
Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu ketika ditemui pada majlis berkenaan enggan mengulas mengenai calon pilihan raya kecil itu. Katanya, biarlah Perdana Menteri selaku Pengerusi BN yang mengumumkannya nanti.
|